
KUALA LUMPUR - Selepas empat hari menunjukkan penurunan berturut-turut yang pastinya menjadi khabar gembira kepada rakyat untuk melihat pandemik itu segera lenyap, kes baharu COVID-19 kembali meningkat semalam dengan sebanyak 12,017 kes, berbanding 10,002 kes kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka baharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu dijangkiti virus berkenaan setakat ini adalah 4,268,486 kes.
Menurutnya, jumlah baharu itu membabitkan 11,958 kes tempatan dengan 59 kes import.
“Separuh atau 6,646 kes dengan 55.30 peratus daripada jumlah jangkitan semalam, membabitkan pesakit kategori 1, iaitu tidak bergejala, manakala 5,303 kes berada dalam kategori 2 atau bergejala ringan.
“Sebanyak 28 kes pula berada dalam kategori 3, manakala kategori 4 (15) dan kategori 5 (25),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, daripada 68 kes COVID-19 membabitkan kategori 3, 4 dan 5 dilaporkan semalam, 15 kes atau 22.06 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan suntikan tersebut.
Katanya, 29 kes atau 42.65 peratus sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak, manakala 24 kes atau 35.29 peratus membabitkan individu selesai mendapatkan dos penggalak.
“Selain itu, 38 kes atau 55.88 peratus adalah dalam kalangan individu berumur 60 tahun ke atas dan 40 kes atau 58.82 peratus mempunyai komorbiditi serta tiada kes membabitkan ibu hamil,” katanya.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 33 kematian baharu direkodkan semalam dengan 10 kes kematian berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Jelasnya, angka baharu kematian itu menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 35,160 kes dengan 7,425 daripadanya adalah kes BID.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 171,172 kes aktif direkodkan semalam dengan 167,130 atau 97.6 peratus menjalani kuarantin di rumah, 385 dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19, manakala 3,423 dirawat di hospital.
Ujarnya, bagi kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini, sebanyak 234 kes dilaporkan dengan 102 kes disahkan COVID-19, manakala 132 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.
“Kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 131 kes, iaitu 49 kes disahkan COVID-19, manakala 82 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kluster baharu dilaporkan semalam dengan 163 kluster aktif dan secara keseluruhan, sebanyak 6,941 kluster direkodkan di negara ini sejak pandemik berkenaan dikesan.
“Sebanyak 20,431 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,062,154 kes. - Getaran, 6 April 2022

