
TAWAU: Seorang pegawai perkhidmatan pendidikan Gred DG44 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada Jumaat atas pertuduhan menerima rasuah RM5,000 berkaitan perolehan projek sekolah bernilai RM223,247.
Abdul Samad Amara, 44, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Tertuduh yang bertugas sebagai Ketua Unit Infrastruktur Dan Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, didakwa menerima wang tunai tersebut daripada Mohammad Soleh Abu Bakar pada 11 September 2020 di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di kawasan Taman Univilla.
Mohammad merupakan pemilik syarikat MS Construction & Engineering Consortium yang diketahui tertuduh ada kaitan dengan kerja-kerja rasminya dan memilih syarikat itu bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di SK Balung, Tawau berjumlah RM223,247.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Izzati Sapifee menjalankan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili.
Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 berdeposit RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan untuk pengurusan kes pada 3 Jun.
Mahkamah juga memberikan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
