JPP jangka 10,000 daftar pencalonan pemilihan cabang PKR

Politics
10 Apr 2022 • 10:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Jawatankuasa pemilihan Parti (JPP) menjangkakan pendaftaran pencalonan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 di 222 cabang seluruh negara yang bermula Jumaat mencecah sehingga 10,000.

Pengerusi Jawatankuasa pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, sehingga Sabtu, lebih 5,000 pendaftaran pencalonan telah dilakukan dan Selangor merupakan negeri yang mendapat sambutan memberangsangkan.

“Sehingga Jumaat, lebih 2,000 pendaftaran dilakukan dan sehingga kini sebanyak 5,100 pendaftaran telah dilakukan di seluruh negara. Paling tertinggi adalah di negeri Selangor,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis, Zaliha memaklumkan bahawa pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada Jumaat hingga Ahad melibatkan jawatan di peringkat cabang seluruh negara.

Jelas beliau, pencalonan tersebut dilaksanakan secara dalam talian dan serentak dengan itu kempen pemilihan secara rasmi bermula.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan mereka membuat permohonan secara dalam talian melalui aplikasi Adil yang telah dilancarkan awal Februari lalu berbanding datang ke pusat pencalonan.

"Kita buka pusat pencalonan di setiap negeri sehingga jam 6 petang dan bagi mereka yang kurang faham boleh pergi ke pusat untuk melakukan pendaftaran," katanya.