Kutu sampah: DBKK keluarkan 667 kompaun

21 Apr 2022 • 12:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan kompaun serta-merta (COS) kepada 667 orang dari Januari hingga 31 Mac tahun ini di bawah operasi Op Degil.

Mayor Datuk Noorliza Awang Alip berkata 691 pesalah telah dihadapkan ke mahkamah (SOS) sejak operasi bermula dari 2016 hingga tahun ini.

Beliau berkata Op Degil akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan mengambil berat dalam menjaga kebersihan persekitaran bandaraya yang tercinta ini.

Operasi ini dijalankan setiap hari untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan bandaraya dan juga memberi pengajaran kepada individu yang mengotorkan persekitarannya.

“Kami menyasarkan individu atau syarikat yang membuang sampah di tempat awam seperti membuang puntungan rokok, tisu, botol minuman dan bekas makanan,” kata Noorliza dalam satu kenyataan, Rabu.

Di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005, pesalah akan diberi pilihan sama ada membayar kompaun serta-merta tidak kurang daripada RM30 dan tidak melebihi RM500, mengikut jenis dan jumlah sampah yang dibuang, atau hadir di mahkamah.

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau dihukum Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan melakukan kerja-kerja masyarakat selama empat jam sehari dalam tempoh tidak lebih tiga bulan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.