200 peniaga Pasar Seri Kembangan pindah ke lokasi sementara Jun ini

13 Apr 2022 • 1:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 13 APRIL: Seramai 200 peniaga Pasar Seri Kembangan akan berpindah ke lokasi sementara di Jalan SK 3/2 mulai Jun ini, maklum wakil rakyatnya.

Menurut Ean Yong Hian Wah, arahan itu diterima baik peniaga berikutan pasar sedia ada di Jalan SK 10 tidak lagi sesuai digunakan selepas lebih 40 tahun.

“Pasar berkenaan berusia lebih 40 tahun menempatkan majoriti peniaga Cina, Melayu dan India.

“Setakat ini mereka tidak bermasalah untuk pindah kerana jarak antara pasar lama dengan pasar sementara dekat, jadi tiada risiko untuk hilang pelanggan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya berkata peniaga akan berada di lokasi transit sehingga 2025 berikutan pembinaan semula pasar lama bermula tahun depan mengambil masa dua tahun.

Dato’ Johary Anuar menjelaskan pembaikan bernilai RM6 juta bakal dilengkapi pelbagai kemudahan
antaranya lintasan pejalan kaki dengan lampu isyarat, bonggol dan penghadang jalan.