
Kota Kinabalu: Seorang bekas finalis rancangan masakan realiti TV yang didakwa bersama suaminya atas tuduhan membunuh pembantu rumah mereka, dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Rayuan.
Panel Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Lee Swee Seng, Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Hakim Datuk M. Gunalan membuat keputusan sebulat suara mengenai permohonan Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong untuk dilepaskan dengan ikat jamin selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Prosiding dijalankan melalui Zoom pada Selasa.
Panel dalam menyampaikan keputusan melalui Zoom, menyatakan bahawa mereka mendapati merit dalam permohonan itu dan keadaan khas yang mewajarkan penggunaan budi bicaranya untuk membenarkan ikat jamin.
Etiqah dibenarkan ikat jamin RM30,000 untuk dibayar di Mahkamah Majistret dengan seorang penjamin tempatan, selain perlu menyerahkan pasport dan semua dokumen perjalanan kepada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, dan melaporkan diri ke balai polis di Penampang pada Isnin pertama setiap minggu pada pukul 12 tengah hari.
Pada 29 Dis 2021, jurutera Petronas Etiqah, 34, dan suaminya kontraktor Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 40, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Nur Afiyah Daeng Damin, antara 10 dan 13 Dis 2021 di sebuah unit di Menara Amber, Lido Avenue, Jalan Lintas Lido, Penampang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana pengakuan mereka hanya akan diambil sebaik kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pasangan itu kemudiannya diperintah untuk direman lanjut kerana pertuduhan terhadap mereka tidak mempunyai peruntukan untuk diikat jamin.
Sebelum ini, peguam Etiqah, Dato Seri Rakhbir Singh telah memohon ikat jamin tetapi ditolak oleh Mahkamah Majistret dan merayu untuk semakan di Mahkamah Tinggi tetapi juga ditolak.
Rakhbir kemudian merayu untuk semakan keputusan Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, Rakhbir dalam sebab-sebab permohonannya, antara lain mengemukakan tentang keadaan kesihatan Etiqah di mana dia mengalami gangguan kerisauan dan kemurungan, mempunyai tiga anak kecil yang berjumpa pakar terapi kanak-kanak untuk kes autisme ringan dan kelewatan pertuturan, dan tiada ahli keluarganya dapat menjaga anak-anak ini kerana ibu bapanya (Etiqah) juga tidak sihat.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan DPP Khairul Aisamuddin mewakili responden.
Etiqah dilihat menangis di luar bilik mahkamah dan mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Rayuan serta peguamnya.
Rakhbir memaklumkan bahawa Etiqah telah membayar ikat jamin pada lewat petang Selasa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

