
Kuala Lumpur: Harga tiket penerbangan sehala kelas ekonomi ke kebanyakan destinasi dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak turun ketara, bagi tempoh penerbangan pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini, dari 27 April hingga 8 Mei.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata penurunan itu hasil kata sepakat kerajaan dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat-syarikat penerbangan domestik, berhubung isu harga tambang tiket tinggi ke kedua-dua negeri berkenaan.
“Berdasarkan pemerhatian Mavcom pada 16 April, harga tambang penerbangan sehala kelas ekonomi bagi tempoh pemerhatian (27 April hingga 8 Mei) adalah antara RM105 dan RM1,398 manakala bagi 29 April hingga 1 Mei (tempoh puncak), harga tambang sehala antara RM195 dan RM1,398.
“Daripada julat harga tambang tersebut, majoriti harga tiket penerbangan tersedia untuk pembelian bagi semua laluan ekonomi sehala ke Sabah dan Sarawak pada tempoh yang dipantau hanyalah antara RM300 ke RM500,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wee berkata keadaan itu berbeza sebelum dan pada 14 April, iaitu julat harga tambang penerbangan sehala bagi kelas ekonomi untuk tempoh tersebut adalah antara RM105 dan RM2,084, manakala bagi tempoh puncak harga antara RM195 hingga RM2,084.
“Daripada julat harga tambang tersebut, majoriti harga tiket penerbangan ekonomi sehala antara RM700 ke RM1,200. Sesungguhnya ini merupakan berita yang amat menggembirakan kepada ahli Keluarga Malaysia yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengguna agar mengambil peluang penurunan harga itu untuk merancang perjalanan dan membeli tiket penerbangan mereka dengan segera, bagi mendapat manfaat daripada tambang penerbangan yang berkemungkinan lebih rendah serta tawaran penerbangan lebih baik.
Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi tajuk perbualan hangat, apabila harga yang dipaparkan pada laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala ke Sabah atau Sarawak, iaitu peningkatan kira-kira 566 peratus berbanding kebiasaan sekitar RM300 bagi perjalanan sama.
Satu tangkap layar juga tular menunjukkan harga tiket penerbangan ke Tawau, Sabah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Mei depan adalah pada RM3,208.96 bagi kelas ekonomi dan RM3,617.09 bagi kelas perniagaan.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Malaysia Airlines Bhd akan menambah 20 frekuensi tambahan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu pada tempoh penerbangan puncak semasa Hari Raya bermula 28 April hingga 8 Mei 2022 bagi menampung lonjakan dalam penerbangan domestik.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, syarikat penerbangan nasional itu berkata dengan kekerapan tambahan lebih 7,000 tempat duduk disediakan, tambang akan diselaraskan secara dinamik ke bawah supaya pelanggan dapat menikmati tambang rendah.
“Bagi meraikan Hari Raya, Malaysia Airlines akan menawarkan diskaun sehingga 20 peratus tambang penerbangan ke semua destinasi domestik untuk tempahan dari 19-27 April 2022 terhadap perjalanan serta merta sehingga 31 Julai 2022.
“Penerbangan dari Kuala Lumpur akan bermula serendah RM139 untuk tambang semua dalam satu ke destinasi Semenanjung Malaysia, dari RM209 ke Miri, Bintulu, Kuching, Sibu, Sandakan, dan dari RM262 ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail, berkata syarikat penerbangan di seluruh dunia menetapkan harga tiket penerbangan secara dinamik, tertakluk kepada permintaan dan bekalan serta berdasarkan tarikh, masa dan ketersediaan tempat duduk dalam jangka masa tertentu.
“Tambang juga akan diselaraskan dengan kesanggupan penumpang untuk membayar berdasarkan trend waktu puncak dan bermusim serta daya saing berbanding syarikat penerbangan lain.
“Ia tidak pernah menjadi hasrat Malaysia Airlines untuk menaikkan tambang yang tinggi bagi menyusahkan pelanggan kami, terutamanya semasa musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata faktor muatan Malaysia Airlines telah melepasi 90 peratus pelanggannya yang membeli tiket kelas ekonomi antara RM139 hingga RM1,047 semasa tempoh perjalanan puncak yang ditawarkan pada promosi awal.
“Kami menggalakkan pelanggan kami merancang perjalanan dan membeli tiket mereka semasa tempoh promosi yang ditawarkan oleh Malaysia Airlines dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mengoptimumkan pilihan mereka untuk menikmati “Malaysian Hospitality” kami.
“Malaysia Airlines telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan perjalanan selamat dan terjamin berikutan dakwaan syarikat penerbangan mengenakan tambang tinggi semasa musim perayaan baru-baru ini,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

