Belasah Isteri Dengan Rotan, Suami Cemburu Dipenjara 10 Tahun, 4 Sebatan

13 Apr 2022 • 3:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohd Faizal Md Yusuf dihukum penjara 10 tahun dan 4 sebatan selepas mengaku bersalah memukul isteri pertamanya dengan rotan di Mahkamah Sesyen, Tawau, hari ini.

TAWAU - Gara-gara cemburu, seorang peniaga dijatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah memukul isteri pertamanya dengan rotan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Faizal Md Yusuf, 34, didakwa memukul Siti Nur Ajeerah Lama, 32, di beberapa bahagian badan, tangan dan kaki sehingga menyebabkan kecederaan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Faizal didakwa melakukan kejadian itu di restoran D'Archery Garden, Batu 1, Jalan Kuhara pada jam 1 petang, 6 April lalu

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 324, tertuduh boleh dipenjara sehingga sepuluh tahun, atau didenda, atau dengan sebat, atau mana-mana dua jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 326 memperuntukan hukuman penjara sehingga dua kali ganda berbanding peruntukan mengikut Seksyen 324.

Tertuduh ketika mengemukakan rayuan berkata, tindakan tersebut diambil selepas mengesyaki isterinya berlaku curang dengan lelaki lain.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menjatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun, bermula dari tarikh dia ditahan pada 7 April lalu dan empat sebatan terhadap Mohd Faizal.

Menurut beliau, hukuman tersebut turut mengambil kira tahap kecederaan mangsa selain menimbangkan fakta kes dan kepentingan awam.

"Tidak kira betul atau tidak (dakwaan tertuduh terhadap mangsa), kamu tidak sepatutnya memukul isteri. Boleh saja merujuk ke Mahkamah Syariah atau berjumpa kaunseling.

"Kecederaan mangsa menunjukkan tindakan kamu memukul bukan bertujuan mendidik, tetapi mendera untuk melepaskan marah," katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul mangsa menggunakan rotan sepanjang 83 sentimeter.

Difahamkan, kejadian itu turut disaksikan isteri kedua Mohd Faizal dan mangsa yang mengalami kecederaan parah masih menerima rawatan di hospital sehingga hari ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Getaran, 13 April 2022