Hiasan Aidilfitri Sederhana, Pengurusan Pusat Beli Belah Pilih Kasih?

24 Apr 2022 • 3:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebuah keluarga menangkap gambar di hadapan perhiasan Aidilfitri di sebuah pusat membeli belah. - Gambar oleh Nooreeza Hashim

KUALA LUMPUR - Pelbagai dekorasi menarik menjelang perayaan utama di Malaysia lazimnya boleh dilihat di mana-mana pusat beli belah seluruh negara.

Saban tahun, pengurusan premis seumpama itu akan tampil dengan pelbagai idea unik dan menarik untuk menyambut pelanggan agar mereka lebih seronok dan teruja melakukan persiapan.

image is not available
Kelihatan tidak banyak perhiasan menyambut kedatangan Aidilfitri di sebuah pusat membeli belah di Lembah Klang. - Gambar oleh Nooreeza Hashim

Dekorasi cantik dengan semarak hiasan mengikut tema tertentu akan melatari kawasan, malah ada juga yang diselitkan dengan pelbagai persembahan.

Namun, di sebalik semua  itu, timbul dakwaan mengatakan segelintir pengurusan pusat beli-belah seperti pilih kasih sempena sambutan Aidilfitri apabila hiasan dan dekorasi dibuat tidak semeriah perayaan lain.

Getaran yang melakukan tinjauan di beberapa pusat beli belah terkemuka di sekitar ibu kota mendapati, premis terbabit sememangnya dihiasi dengan cukup sederhana.

Perkara tersebut turut diakui oleh pekerja swasta, Siti Zarina Mohd Zani, 24, yang hadir membeli beli di sebuah pusat beli belah di ibu kota hari ini, sebagai persediaan menjelang Aidilfitri.

image is not available
Siti Zarina Mohd Zani

“Saya mengaku, memang dari segi apa yang kita lihat ini, dekorasi pusat beli belah sudah tidak semeriah seperti dahulu, malah bagi saya perhiasan di pusat beli belah di sini, hambar sahaja.

“Tahun-tahun sebelum tidak pula sesederhana sekarang. Saya sendiri terkejut sebab tahun ini sepatutnya lagi meriah kerana kita kembali dibenarkan bergerak susulan kelonggaran diberi kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut beliau, Aidilfitri tahun ini seharusnya diraikan dengan lebih meriah, serentak dengan peralihan negara ke Fasa Endemik.

“Awal tahun lalu ketika perayaan Tahun Baharu Cina di pusat membeli belah yang sama saya kunjungi ini, sambutan sungguh ‘happening’ malah pengunjung dari kalangan kaum lain turut tidak ketinggalan untuk turut serta,” katanya.

image is not available

Wanita itu turut menyarankan pihak pengurusan premis mencari lebih banyak idea untuk menjadikan sambutan serta dekorasi dibuat lebih meriah.

“Mungkin pihak pengurusan boleh mengadakan persembahan pada hujung minggu seperti persembahan nasyid atau kompang di premis mereka untuk memeriahkan suasana,” katanya.

Reaksi berbeza bagaimanapun diberikan seorang lagi pengunjung, yang hanya mahu dikenali sebagai Lin Suhana, 42.

image is not available
Lin Suhana

Menurut pekerja swasta itu, Aidilfitri seharusnya disambut dalam keadaan sederhana, seperti tuntutan agama Islam yang melarang penganutnya melakukan pembaziran.

“Memang kita seharusnya menyambut perayaan Aidilfitri dalam keadaan yang sederhana bagi menyelami perasaan golongan kurang berkemampuan.

“Lagipun, bagi Tahun Baharu Cina, itu memang adat mereka meraikan dengan meriah untuk mendapat lebih  ‘Ong’ dan ia memang kepercayaan kaum Tionghua,” katanya.

Tambah Lin Suhana, tarian singa yang penuh meriah itu sememangnya adat turun temurun kaum terbabit setiap kali Tahun Baharu Cina dirayakan.

image is not available
Tinjauan dekorasi raya sempena sambutan perayaan Aidil Fitri di Pusat Membeli-Belah Sunway Putra. - Gambar oleh Nooreeza Hashim

“Aidilfitri pula lazimnya lebih berkisar kepada aktiviti ziarah menziarahi dan menjamu selera dengan pelbagai juadah.

“Maka tak perlulah membazir dengan berhabisan menghias pusat beli belah, suasana yang sederhana sudah cukup memadai,” ujarnya.

Walaupun hiasan serba sederhana, tinjauan Getaran mendapati, beberapa pusat membeli belah di sekitar ibu kota mula diserbu pengunjung, apatah lagi Ramadan hanya berbaki kurang dua minggu.

Hari Raya Aidilfitri merupakan sambutan terbesar di Malaysia, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. - Getaran, 24 April 2022.