
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Rabu mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 Mei depan, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan tetapi adalah atas pilihan individu.
Beliau berkata, bagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.
“Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutama apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam dan stadium.
“Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan,” katanya dalam sidang media di sini bagi mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.
Khairy berkata pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan di dalam bangunan seperti gedung membeli-belah serta tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 akan diambil terhadap individu yang gagal mematuhi arahan itu.
Beliau berkata pelitup muka boleh ditanggalkan sekiranya bersendirian di dalam suatu ruang atau ketika makan, minum, berucap dan membuat persembahan.
“Pemakaian pelitup muka terutama di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang sekeliling khususnya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak serta individu terimunokompromi,” katanya.
Khairy berkata pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan selepas mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.
Beliau juga berkata prosedur operasi standard penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan kini tidak lagi diperlukan selepas mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang.
“Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” katanya.
Sementara itu, imbasan kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai prosedur operasi standard (SOP) daftar masuk ke premis tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa 1 Mei.
Bagaimanapun, Khairy berkata pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu yang akan memasuki premis untuk memastikan mereka dengan status ‘High Risk’ iaitu kes positif Covid-19 dan yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis tersebut.
Khairy berkata kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka.
“Mereka yang positif Covid-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap masih tidak dibenarkan masuk ke premis.
“Ini termasuk individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia tidak dibenarkan masuk ke premis,” katanya yang turut meminta orang ramai mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.
Khairy berkata aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan HSO serta membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan Covid-19.
Beliau berkata fungsi HotspotTracker yang dahulu digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes Covid-19 kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit lain seperti rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi.
“Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit,” katanya.
Beliau berkata langkah proaktif itu diambil bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi.
“Saya juga amat menggalakkan persatuan-persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit di kawasan kediaman masing- masing dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan,” katanya.
Keperluan melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan bagi tiga kumpulan pengembara digugurkan, juga berkuat kuasa 1 Mei ini.
Mereka terdiri daripada pengembara berusia 13 tahun ke atas yang telah lengkap vaksinasi; mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia; dan pengembara berusia 12 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.
Beliau berkata pengembara dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksinasi perlu melakukan ujian prapelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia menggunakan RT-PCR atau RTK-Ag Professional.
Mereka juga perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta sama ada secara fizikal atau maya, katanya.
“Mereka masih perlu menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah. Mereka perlu menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag professional pada hari kelima,” katanya.
Khairy berkata pengembara dikesan bergejala semasa berada di pintu masuk antarabangsa negara akan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan RTK-Ag profesional.
Beliau berkata polisi sama digunapakai bagi semua kategori pengembara termasuk umrah, haji dan pekerja asing.
“Semua pengembara masih perlu mengemukakan Kad Pengembara (Traveller’s Card) yang dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa,” katanya.
Bagi pengembara umrah dan haji, beliau berkata mereka dikehendaki mendapatkan vaksinasi dos penggalak sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Dalam pada itu, beliau berkata insurans Covid-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysia tidak lagi menjadi prasyarat kemasukan ke Malaysia.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
