Kos pembinaan kemudahan Sukma 2026 di Kelantan RM411 juta

17 Apr 2022 • 2:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

JUMLAH keseluruhan kos bagi pembinaan kemudahan dan fasiliti untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Kelantan bernilai sekitar RM411 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, daripada jumlah itu kerajaan telah meluluskan peruntukan RM276 juta bagi pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh termasuk infrastruktur lain.

"Projek ini belum bermula, namun ia telah memasuki peringkat perancangan yang mantap termasuk reka bentuk dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat status projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bilik Gerakan Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad dan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Noor.

Mengulas lanjut Mustapa berkata, pembinaan kemudahan itu akan bermula tahun depan dan dijangka siap tahun 2025.

Penganjuran Sukma 2026 di Kelantan merupakan julung kali diadakan di negeri itu sejak temasya dwi-tahun itu mula diperkenalkan. - Bernama