5 Kelebihan Bersahur dengan Oat yang Ramai Tidak Tahu

Health & Fitness
23 Apr 2022 • 12:00 PM MYT
Duan Deris
Duan Deris

Duan Deris adalah pekebun separuh masa dan penulis bebas di cariblogger.com

image is not available

Oat adalah sejenis bijirin bebas gluten yang sangat berkhasiat. Secara terperinci, oat mengandungi sekitar 51gram karbohidrat, 13gram protein, 5gram lemak, dan 8gram serat dalam 1 cawan (Sumber).

Komposisi nutrien oat juga dilihat seimbang dan sering dijadikan sebagai salah satu sumber utama karbohidrat dan serat untuk sumber keperluan harian (Sumber). Kini, oatmeal yang dihasilkan dari oat yang dipotong nipis adalah lebih digemari kerana ianya lebih cepat dan mudah untuk disediakan.

Namun begitu, masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih belum kenal dan serasi dengan bijirin seperti oat sebagai menu bersahur. Jom kita lihat kelebihan apa sebenarnya kelebihan sebagai salah satu menu alternatif ketika bersahur di bulan Ramadan.

image is not available
Photo by Le Buzz on Unsplash

1. Oat pengganti nasi yang terbaik

Nasi berlauk adalah menu bersahur yang sangat sinonim dengan rakyat Malaysia. Ramai yang gemar memilih nasi mungkin kerana ianya ialah merupakan makanan ruji yang mudah didapati, senang disediakan, dan mengenyangkan.

Oat adalah pengganti nasi yang terbaik. Ini disebabkan kandungan mineral dan vitamin di dalam oat secara keseluruhannya lebih tinggi berbanding nasi (Sumber). Bukan sahaja lebih berkhasiat, oat juga sangat mengenyangkan!

image is not available

2. Oat sangat mudah dan cepat untuk disediakan

Waktu sahur yang afdhal adalah pada pertengahan malam dan berakhir ketika terbitnya fajar (Sumber).

Kebiasaannya, pada masa dan ketika ini, ramai di antara kita yang tidak rajin untuk menyediakan makanan mahupun lauk pauk yang pelbagai. Adakalanya, nasi putih dan telur dadar sahaja sudah cukup memadai.

Berbanding nasi, oat di dalam bentuk oatmeal lebih mudah dan cepat untuk disediakan. Terdapat 2 jenis oatmeal yang popular di pasaran; satu yang perlu dimasak manakala satu lagi hanya memerlukan air panas. Jika mahu cepat, anda boleh pilih oatmeal yang boleh disediakan dengan kadar segera.

image is not available
Photo by Brooke Lark on Unsplash

3. Oat lebih mengenyangkan dan tahan lebih lama

Sahur memainkan peranan penting untuk membekalkan sumber tenaga ketika di bulan Ramadan. Tanpa sahur, anda mungkin tidak mampu berpuasa dengan baik dan seterusnya boleh menggangu perjalanan aktiviti harian anda.

Menurut kajian, oatmeal dikatakan boleh meningkatkan kekenyangan seseorang dan mampu untuk memperhebatkan tahap kawalan selera makan berbanding bijirin-bijirin sarapan yang lain. Kesannya mungkin disebabkan oleh sifat kelikatan dan penghidratan kandungan β-glukannya (Sumber).

4. Oat membantu melegakan sembelit

Sembelit merujuk kepada masalah pembuangan najis yang tidak teratur atau sukar untuk dikeluarkan.

Sesetengah orang adakalanya akan mengalami masalah sembelit khususnya ketika berpuasa. Perkara ini adalah biasa dan selalunya terjadi disebabkan kekurangan air dan serat di dalam diet pemakanan harian di bulan Ramadan (Sumber).

Sekiranya perkara ini sering terjadi kepada anda, apa kata anda cuba amalkan oat ketika bersahur. Oat dipercayai mampu membantu untuk melegakan sembelit.

Menurut Kristen Smith, MS, R.D., penyelaras pembedahan bariatrik di Hospital Piedmont Atlanta, beliau mengatakan bahawa oat sangat kaya dengan serat larut iaitu sejenis serat yang membolehkan lebih banyak air kekal di dalam najis yang menjadikan najis lebih lembut dan besar, dan akhirnya lebih mudah untuk dikeluarkan (Sumber).

5. Oat membantu menurunkan kolesterol

Berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh MayoClinic, makanan seperti oatmeal yang berasaskan oat adalah salah satu makanan yang berserat tinggi. Oatmeal contohnya mengandungi serat larut, yang berupaya untuk mengurangkan kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) ataupun sering digelar kolesterol jahat (Sumber).

Kolesterol LDL sering dipanggil kolesterol jahat kerana ia terkumpul di dinding saluran darah anda, meningkatkan peluang anda mengalami masalah kesihatan seperti serangan jantung atau strok (Sumber).


Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.