
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan yang tular selepas membuat rakaman video secara langsung di aplikasi TikToknya ketika serbuan di sebuah pusat hiburan ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Asisten Superintendan Operasi Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Johor dengan menyandang tugas sebagai Asisten Superintendan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor.
Pertukaran pegawai wanita itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.
"Pegawai itu telah ditukarkan ke IPK Johor dan perlu melaporkan diri pada penghujung bulan Mei depan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menerusi video yang tular, pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa serbuan di sebuah pusat hiburan baru-baru ini.
Video itu turut dipersoalkan orang ramai kerana perbuatan pegawai tersebut yang disifatkan mengejar populariti.
Susulan itu, pada Isnin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perbuatan pegawai wanita itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta Tatacara yang ditetapkan PDRM.
