UiTM Buat Keputusan Rehatkan Professor Yang Didakwa Hina Pelajar B40

1 Apr 2022 • 3:44 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menerusi satu kenyataan media mengumumkan akan merehatkan Profesor Dr Roshana Takim, daripada tugasan pengajaran mulai 1 April 2022 sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh pihak universiti.

Keputusan yang dibuat menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang diadakan pada 31 Mac 2022 itu adalah bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur.

“Pada masa yang sama, pihak universiti memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja ataupun tidak yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warga.

“UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran (posting) yang mengelirukan,” kata UiTM.

Tambah kenyataan itu lagi, UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan juga pelajarnya.

image is not available


“Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.

”Penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Pensyarah (PRO-PENS) yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan,” kata UiTM lagi.

Terdahulu, UiTM dilaporkan telah membuat satu laporan polis berkenaan dokumen tiga muka surat mengenai laporan kronologi insiden itu yang telah tular dan tersebar di Facebook semalam (31 Mac).

Laporan itu dilakukan kerana maklumat itu dikatakan sulit dan untuk melindungi institusi berkenaan, kakitangan serta mahasiswanya.