Jual Lesen Memandu Palsu, 2 Suspek Ditahan

4 Apr 2022 • 8:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis menyerbu sebuah rumah yang menjadi markas aktiviti penghasilan lesen memandu palsu dan merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan itu di Durian Tunggal Melaka.

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki susulan terbongkarnya aktiviti penipuan dilakukan mereka dengan menjual lesen memandu palsu menerusi media sosial, kelmarin.

Aktiviti lelaki berusia 17 dan 22 tahun itu, terbongkar susulan laporan polis dibuat seorang mangsa yang mendakwa membayar RM490 bagi mendapatkan lesen memandu daripada suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pada 29 Mac lalu, mangsa melihat iklan di Facebook yang menawarkan perkhidmatan membuat lesen tanpa melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, mangsa menghubungi nombor tertera melalui aplikasi WhatsApp sebelum diminta membayar RM490 bagi mendapatkan lesen memandu tersebut.

“Bagaimanapun, setelah bayaran dibuat, suspek masih meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan. Curiga dengan suspek, mangsa tampil membuat laporan polis.

“Hasil siasatan dijalankan, polis membuat serbuan di sebuah rumah di sekitar Durian Tunggal, Melaka sebelum menahan kedua-dua suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses lesen palsu tersebut.

“Kesemua tangkapan direman bermula dari semalam sehingga esok untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Mohd Mahidisham turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan lesen  memandu melalui cara sah.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat jenayah atau aktiviti mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau Whatsapp CCID Infoline di talian 013-2111 222.

“Anda juga boleh menyemak di semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana Balai Polis berdekatan,” katanya. - Getaran, 4 April 2022