Bitara Scholar Bantu UPSI Tingkat Pencapaian Penyelidikan, Inovasi

22 Apr 2022 • 8:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Md Amin (tengah) melancarkan Bitara Scholar di UPSI, baru baru ini

KUALA LUMPUR - Bagi membantu meningkatkan pencapaian penyelidikan dan inovasinya menerusi inisiatif perkhidmatan serta sokongan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan pusat khusus dikenali Bitara Scholar, baru-baru ini.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, menerusi inisiatif dilaksana di bawah portfolio Penyelidikan dan Inovasi itu, universiti awam (UA) berkenaan menawarkan perkhidmatan bimbingan strategi yang berkesan kepada penyelidik untuk memperoleh geran berimpak tinggi.

“Sebagai sebuah pusat pengajian yang memartabatkan pendidikan, UPSI bertekad membantu ahli akademik bagi meningkatkan pencapaian dalam penyelidikan, penerbitan, perundingan dan pengkomersilan menerusi kemudahan perkhidmatan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Bitara Scholar sempena program Santun Jawatankuasa Pengurusan Universiti di Pusat Pengurusan Penyelidikan UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim.

image is not available
Dr Md Amin Md Taff

Md Amin berkata, menerusi inisiatif sama, Bitara Scholar akan menjadi pusat kepada bimbingan dalam penerbitan dan ‘close coaching’.

Usaha itu, katanya menyaksikan pakar rundingan dalam bidang akademik dilantik membantu penyelidik dan pensyarah menghasilkan artikel jurnal berindeks serta mencapai sasarannya yang ditetapkan.

“Penerbitan artikel jurnal berindeks, terutamanya scopus adalah satu kriteria dalam penarafan Taksiran Penyelidikan Malaysia (MYRA) dan QS World University Ranking.

“Justeru, bagi merealisasikan hasrat menjadikan UPSI sebagai universiti terbaik dunia, usaha ini dilihat sebagai bertepatan ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata, Bitar Scholar turut menyediakan perkhidmatan ‘pitching coaching’, mentor industri, penasihatan pemilikan harta intelek (IP) dan penasihatan perundingan.

“Pusat ini juga menyediakan perkhidmatan suntingan bahan pembentangan dalam bentuk fotografi dan videografi,” katanya. – Getaran, 22 April 2022