
KUALA LUMPUR - Pemegang kad Touch ‘n Go (TnG) yang tidak aktif atau tamat tempoh tidak akan dapat melepasi plaza tol, kata Plus Malaysia Bhd (PLUS).
Justeru, pengguna terutama yang bakal menggunakan lebuh raya PLUS sempena Aidilfitri, dinasihatkan untuk menyemak status kad TnG mereka terlebih dahulu, sebelum memulakan perjalanan.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabid berkata, sekiranya pengguna tidak dapat melepasi plaza tol, ia boleh mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
“Kami (PLUS) menasihatkan pelanggan yang mempunyai kad TnG tidak aktif atau tamat tempoh untuk segera mendapatkan kad baharu daripada peruncit dan ejen jualan sah di seluruh negara.
“Sebagai alternatif, mereka boleh menggunakan MyKad dan kad ahli kesetiaan Watsons yang turut dilengkapi cip TnG serta boleh ditambah nilai untuk kegunaan lebuh raya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai boleh menyemak status kad TnG mereka di http://tngportal.touchngo.com.my/tngPortal/login sebelum memulakan perjalanan.
“Memandangkan pengguna lebuh raya tidak berpeluang melakukan perjalanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020, kad TnG mereka tidak lagi aktif apabila tiada transaksi tol dibuat dalam tempoh 12 bulan berturut-turut.
“Bagi kemudahan tambah nilai, PLUS menyediakan pusat tambah nilai di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) terpilih, mesin juruwang automatik (ATM) dan kedai serbaneka di sepanjang lebuh raya PLUS, selain 67 kiosk layan diri (SSK) di plaza tol terpilih,” katanya.
Zakaria berkata, terdapat 22 kaunter TnG di stesen minyak terpilih di sepanjang lebuh raya PLUS yang membolehkan pengguna melakukan tambah nilai tanpa caj.
“Untuk maklumat lanjut berhubung kemudahan tambah nilai TnG, sila hubungi Touch ‘n Go Careline di careline@touchngo.com.my atau layari www.touchngo.com.my,” katanya. – Getaran, 29 April 2022
