Perjuangan IC Sabah dalam perhatian Kerajaan Sabah, Persekutuan Malaysia: Star

14 Apr 2022 • 3:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Perjuangan untuk merealisasikan pengeluaran Kad Pengenalan Sabah (IC Sabah) pada ketika ini sudah sampai ke dalam perhatian Kerajaan Sabah dan Persekutuan Malaysia.

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah Datuk Robert Tawik @ Nordin (gambar) berkata perjuangan mengeluarkan IC Sabah telah mencapai perkembangan memberangsangkan sejak mula disuarakan lebih 10 tahun lalu.

“Pada awal mula dicetuskan, perjuangan mengeluarkan IC Sabah sekadar disuarakan melalui majlis-majlis Borneo Tea Party (BTP) anjuran United Borneo Front (UBF),” kata Robert.

Robert menambah, setelah menjadi sebahagian kerajaan di Sabah dan Persekutuan Malaysia, usaha mengeluarkan IC Sabah kepada rakyat asal Sabah mula dibincangkan dalam pertemuan-pertemuan rasmi.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya menegaskan tiada rakyat Sabah akan teraniaya dengan pengeluaran IC Sabah.

Menurut Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, IC Sabah bertujuan untuk membezakan rakyat asal Sabah dengan pemegang MyKad menggunakan dokumen palsu dan melalui IC Project.

Jelas Robert lagi, terakhir ini, perjuangan mengeluarkan IC Sabah sudah dibawa ke dalam perbahasan Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam usaha mengimplementasi pembelaan hak-hak perlembagaan rakyat asal Sabah.

Presiden Star Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan telah membahaskan IC Sabah di Parlimen manakala Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee membahaskan IC Sabah dalam persidangan DUN Sabah.

“Pembahasan tentang IC Sabah di Parlimen serta DUN menunjukkan suatu perkembangan jauh ke hadapan sebagai kesinambungan dari pergerakan tanpa jemu selama ini,” kata Robert.

Kata Robert, pembahasan IC Sabah dalam Parlimen serta DUN Sabah sudah mencapai peringkat konstitusi yang mana sebelum ini hanya digerakkan dalam BTP UBF, ‘Black Sunday’ dan kempen pilihanraya kecil Kimanis.

Robert menegaskan, Star bersama rakan-rakan gabungan parti akan terus menggerakkan pelbagai pendekatan untuk merealisasikan pengeluaran IC Sabah.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.