Bio Fluid, UiTM meterai MoU hasilkan ubat antidiabetik

16 Apr 2022 • 12:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Bio Fluid Sdn Bhd (Bio Fluid) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menghasilkan ubat diabetes oral baharu.

Majlis bersejarah tersebut menjadi titik permulaan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan ubat tersebut menggunakan formula yang dipatenkan sebagai Ganoringa©.

Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha UiTM melalui Pusat Perniagaan Inovasi dan Pengkormersilan Teknologi (BiTCOM) untuk mempercepatkan hasil penemuan penting daripada penyelidikan dan inovasi untuk manfaat negara serta masyarakat global.

Produk ini dijangka dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor bersama Pengarah BiTCOM, Prof Madya Dr Syed Shatir Asghrar Syed Hassan.

Kerjasama ini juga dilihat sebagai satu usaha pengkomersialan hasil inovasi dan produk penyelidikan UiTM.

Nilai keseluruhan Perlesenan Perjanjian adalah sebanyak RM1.06 juta bagi tempoh antara tiga hingga lima tahun, manakala projek kolaboratif bersama Bio Fluid bernilai RM2 juta.

Sejak 2019, Bio Fluid dengan usahasama UiTM berjaya menghasilkan produk penjagaan kesihatan menerusi formulasi Bio Extreem menggunakan teknologi nano dan nutraseutikal yang dihasilkan daripada minyak kelapa dara untuk memperoleh komponen aktifnya, asid laurik.

Hasil penyelidikan tersebut dilihat mempunyai potensi tinggi untuk menghasilkan ubat diabetes yang mampu memberi kesan lebih efektif untuk rawatan berbanding ubat diabetes biasa di pasaran. Ia juga mampu memperbaiki hiperglisemia dan hiperlipidemia tanpa menjejaskan struktur serta fungsi tisu.

Ganoringa© juga akan memberikan kesan positif dengan meningkatkan sistem imun pengguna, sekaligus menaikkan kualiti hidup pesakit diabetes dan mengekalkan tisu homeostasis secara semula jadi, termasuk membaiki tisu yang rosak akibat penyakit ini.

Pengarah dan Pengasas Bersama Bio Fluid Sdn Bhd, Rohaizad Abdul Raoof berkata, penghasilan ubat tersebut amat penting sejajar dengan perkembangan terkini yang menyaksikan bilangan pesakit diabetes semakin meningkat termasuk di Malaysia.

“Kami berterima kasih kepada pihak UiTM atas sokongan mereka terhadap syarikat Bio Fluid. Selaku syarikat tempatan, kami berbangga untuk memperkenalkan rangkaian pertama produk kami yang dirumus dengan formula yang dipatenkan sebagai Bio Extreem kini berada di pasaran tempatan dan Timur Tengah.

“Kini kami yakin untuk terus menghasilkan produk farmaseutikal terbaik, dengan formula Ganoringa© berdasarkan permintaan pasaran.

“Ini adalah kerana Malaysia berada di tempat pertama sebagai negara yang mempunyai bilangan pesakit diabetes yang tinggi di Asia dan secara global di tangga ke-3 selepas Qatar dan Guam.

“Kami optimistik bahawa hasil penyelidikan ini adalah pilihan rawatan yang selamat dan holistik bagi komplikasi penyakit diabetes.

“Ganoringa© juga mempunyai kesan untuk menggalakkan sistem imun dan anti-penuaan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Bio Fluid, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengalu-alukan kerjasama tersebut dalam menghasilkan produk yang relevan dengan permintaan semasa akibat pandemik Covid-19.

“Kami berharap untuk melihat lebih banyak projek R&D yang mempunyai daya saing daripada penyelidik Malaysia sekaligus kekal relevan dengan keadaan semasa.

“Bio Fluid sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk yang berimpak tinggi, berasaskan bahan semula jadi yang lebih selamat kepada pengguna yang mementingkan kesihatan.”

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

View Original Article