
KUALA LUMPUR - Lelaki bermata juling yang disyaki mencabul dua wanita selang 15 minit di parkir bangunan kediaman terkemuka di Cyberjaya semalam, sudah ditahan tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek kini berada dalam tahanan pihak polis.
“Saya baru dimaklumkan suspek sudah berjaya ditangkap, dia kini dalam tahanan polis,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis memburu seorang lelaki bermata juling yang disyaki mencabul dua wanita di lokasi sama dalam kejadian semalam.
Menurut laporan itu, Wan Kamarul Azran berkata, kejadian pertama membabitkan wanita yang bekerja sebagai pembantu peribadi berusia 27 tahun.
Katanya, dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa menaiki lif untuk turun ke tingkat satu bersama tiga individu, sebelum menuju ke kenderaannya.
“Secara tiba-tiba, seorang lelaki menghampiri wanita berkenaan dan mahu membantu dengan mengambil troli dibawa mangsa.
“Mangsa menolak permintaan itu dan suspek tetap mengambil barangan terbabit serta membantu memasukkannya ke dalam kenderaan.
“Suspek tiba-tiba meramas punggung mangsa dengan tangannya sebelum melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya, berdasarkan identiti dinyatakan mangsa, lelaki itu dipercayai berkulit gelap dan berpakaian serba hitam.
Individu terbabit juga, ujarnya, dikatakan menyandang beg silang warna hitam serta memakai pelitup muka yang tidak pasti warnanya.
“Mangsa melihat lelaki itu bermata juling dan menyatakan tidak mengenali suspek serta mendakwa mereka tidak pernah berjumpa sebelum ini. Perbuatan lelaki itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Beliau berkata, selang 15 minit kemudian seorang wanita berusia 34 tahun turut dicabul dipercayai oleh suspek serupa ketika menunggu lif di tingkat 2 di bangunan sama.
“Menurut mangsa, seorang lelaki tiba-tiba datang dari arah belakang memeluk dan mencabul dirinya, sebelum dia memusingkan badan untuk melepaskan diri serta kemudian terjatuh akibat ditolak suspek.
“Lelaki memakai seluar dan baju lengan panjang berwarna hitam itu, bergegas melarikan diri, namun CCTV di tempat kejadian diperoleh polis mendapati dia suspek sama dengan kes pertama,” katanya.
Siasatan kes itu, jelasnya, dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. - Getaran, 6 April 2022
