Op Selamat: Polis tidak fokus tahan individu banyak saman, waran tangkap

28 Apr 2022 • 10:05 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan Op Selamat ke-18 sempena Aidilfitri bertujuan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran aliran trafik, bukannya menumpukan untuk menahan individu yang memiliki banyak saman atau waran tangkap.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata tindakan terbabit tidak akan diambil sepanjang tempoh Op Selamat dilaksanakan kerana pihaknya mahu memastikan pengguna dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat.

“Kami ingin menegaskan bahawa menahan dan menangkap bukanlah matlamat JSPT sepanjang Op Selamat kali ini.

“Polis sebenarnya ada banyak kaedah untuk menahan pesalah tetapi pada masa yang sesuai,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat kepada Datuk Muhamad Zaki Harun yang memangku Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata pihaknya juga turut menggunakan alat pengesan had laju In-Car Radar dan iCOPS sepanjang Op Selamat bagi mengesan pesalah trafik yang memiliki saman tertunggak serta waran tangkap.

“Kami ingin nasihatkan pengguna supaya berhati-hati di jalan raya agar selamat sampai ke destinasi yang dituju kerana dijangkakan esok (29 April) kenderaan akan mula bertambah di jalan raya,“ katanya.-Bernama