Polis: Op Lancar pantau kawasan sering sesak ketika sambutan Aidilfitri

27 Apr 2022 • 12:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar di kawasan-kawasan panas berlaku kesesakan trafik akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata jentera PDRM di seluruh negara akan diatur gerak dalam tempoh operasi itu.

Beliau berkata ia melibatkan anggota balai dan elemen kereta peronda, unit rondaan bermotosikal dan rondaan bit secara holistik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri dan perbandaran.

“Pengguna jalan raya diminta peka dengan informasi terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi PDRM yang dapat membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing.

“Orang ramai juga melaksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahguna lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata PDRM juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik dengan berkongsi video serta gambar kepada pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) agar tindakan lanjut dapat diambil.

– BERNAMA