
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan syarikat pengimport mentega kacang berjenama Jif keluaran Amerika Syarikat (AS), menarik balik produk tersebut kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengambil maklum berkaitan penarikan balik produk berkenaan dari pasaran AS.
“Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (FDA) mengarahkan produk terbabit dengan nombor kumpulan antara 1274425 hingga 2140425, iaitu hanya melibatkan tiga digit terakhir 425, ditarik balik kerana tercemar dengan bakteria Salmonella.
“KKM sudah meminta pihak syarikat yang mengimport menarik balik produk terlibat di pasaran. Selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk terlibat masuk ke negara ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, peniaga yang menjual produk terbabit dengan nombor kumpulan sama (ditarik balik) diminta menghentikan penjualan serta-merta.
Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia
— KKMalaysia🇲🇾😷 (@KKMPutrajaya) May 30, 2022
Isu Penarikan Balik Produk Mentega Kacang Berjenama Jif Dari Pasaran Amerika Syarikat Yang Dikhuatiri Tercemar Dengan Bakteria Salmonella pic.twitter.com/r3fnJ9mxTf
“Produk terbabit diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan termasuk Malaysia.
“Bagi pengguna yang membeli produk tersebut dengan nombor kumpulan terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut,” katanya.
Ujarnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
“Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.
Salmonella adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan diproses, jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.
Terdahulu, Agensi Makanan Singapura (SFA) turut mengarahkan produk mentega kacang terbabit ditarik balik sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan kemungkinan berlaku pencemaran Salmonella.
Sekurang-kurangnya 14 jangkitan Salmonella sudah dilaporkan, menurut media AS.
Pengilang JM Smucker Co sudah menarik balik kumpulan produk terjejas yang disebabkan pencemaran bakteria Salmonella. - Getaran, 30 Mei 2022

