SSDU, The Hive memeterai perjanjian kerjasama bangun syarikat teknologi AI di Selangor

20 May 2022 • 2:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 20 MEI: Kerajaan Selangor menerusi Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan The Hive Southeast Asia (THSEA) setuju untuk menjalinkan kerjasama bagi membuka syarikat pemula berasaskan teknologi AI di Selangor.

Persetujuan itu dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pengarah urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah dan rakan pengurusan THSEA Dato’ Syed Haizam Jamalullail pada Sidang Kemuncak Tahunan The Hive 2022 di Palo Alto, Amerika Syarikat pada 16 Mei lalu.

Ia disaksikan oleh EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dr Nor Fuad Abdul Hamid serta pengasas dan pengarah urusan The Hive LLC TM Ravi.

Menurut Syed Haizam Jamalullail, kerjasama ini membuktikan kemampuan SSDU sebagai pengurus program Smart Selangor dan kualiti syarikat pemula di Selangor, selain persekitaran sedia ada bukan sahaja di Selangor dan Malaysia tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

“Kerjasama ini adalah hasil usaha berterusan bagi membina Selangor Smart State menerusi perkongsian dengan rakan kongsi serantau dan antarabangsa,” kata Dr Fahmi.

Menerusi kerjasama itu SSDU dan THSEA akan membangunkan Smart Selangor Digital Initiatives, sekali gus memastikan program Smart Selangor Smart State mencapai matlamatnya menjelang 2025.

Sementara itu, THSEA adalah cawangan ketiga The Hive LLC di Lembah Silikon Amerika Syarikat selepas The Hive Brazil dan The Hive India.