
SEPANG, 15 MEI: Siri keempat Jelajah JobCare yang berlangsung di Dewan Taman Gemilang, Dengkil di sini semalam berjaya menarik minat 108 pencari kerja dari seluruh negeri.
Ketua penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) berkata daripada jumlah itu, seramai 12 peserta diterima bekerja dalam sektor perkilangan dan logisitik manakala 46 layak menghadiri temu duga kedua.
“Sambutan amat menggalakkan walaupun ia adalah kali pertama jelajah diadakan di kawasan luar bandar berbanding tiga siri jelajah sebelum ini di kawasan bandar.
“Kebanyakan peserta adalah lepasan diploma dan ijazah sarjana muda yang sedang menganggur selain mahu mencari pekerjaan lebih baik untuk masa depan masing-masing,” kata S Vijayan ketika ditemui Selangorkini.
Justeru, beliau menjangkakan antara 300 hingga 400 peserta bakal mendapat tawaran kerja melalui 10 siri jelajah di peringkat daerah yang bermula sejak 26 Februari lalu hingga 25 Jun depan.
Vijayan turut berharap karnival berkenaan mampu mengurangkan pengangguran di Selangor yang merekodkan kadar 2.9 peratus pada suku keempat tahun lalu.
“Sebab itu kita buat karnival di setiap daerah kerana kalau tidak, mereka tidak akan datang ke tempat kita. Peluang harus diberikan kepada mereka supaya manfaat dapat dinikmati bersama,” katanya.
Jelajah JobCare menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini dengan disertai 15 syarikat tempatan dalam pelbagai sektor.
Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site.
Berikut adalah lokasi dan tarikh penganjuran Jelajah JobCare:
- Dewan Demesne, Hulu Langat (21 Mei)
- Dewan Serbaguna Air Panas, Setapak (22 dan 23 Mei)
- Dewan Taman Gombak, Gombak (4 Jun)
- Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang (11 dan 12 Jun)
- Dewan Banting Baru, Kuala Langat (18 Jun)
- Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam (25 Jun)
The post JobCare bantu kurang kadar pengangguran di Selangor appeared first on Selangorkini.
