Semua Hutan Lipur Di Perak Kini Ditutup Sementara. Kenapa Ek?

18 May 2022 • 6:58 PM MYT
Rileklah
Rileklah

Lifestyle & travel news. Malaysian-style travel, tips, food, hotel and more!

image is not available

Semua 14 kawasan hutan lipur di bawah selenggaraan Jabatan Perhutanan Perak ditutup untuk sementara berkuat kuasa serta merta, ekoran cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keadaan cuaca sedemikian telah menyebabkan berlaku kejadian tidak diingini, seperti tragedi kepala air di Gunung Suku, Simpang Pulai, yang menghanyutkan dua pendaki wanita, Ahad lepas.

image is not available

"Kepada sesiapa sahaja yang nak menggunakan kawasan perkelahan dalam kawasan Jabatan Hutan ini, dia kena ingat bahawa tidak ada siapa boleh sangka akan wujudnya fenomena kepala air.

"Jadi kita bincang dengan Datuk Md Zin, Pengarah Perhutanan tadi, dan kita nasihatkan supaya kawasan-kawasan ini kita tutup buat sementara waktu daripada orang ramai," katanya.

image is not available

Selain penutupan sementara hutan lipur, prosedur operasi standard (SOP) aktiviti pendakian juga akan dikaji semula, termasuk menguatkuasakan penggunaan malim gunung.

Beliau turut mengesahkan, dalam kejadian terbaharu, seorang pendaki warga emas meninggal dunia pada Selasa malam, ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Yong Belar, yang terletak di sempadan negeri Perak-Kelantan.

Katanya, terdahulu pendaki berusia 66 tahun dari Selangor itu dipercayai terlalu letih ketika mendaki bersama 13 pendaki yang lain.

image is not available

Difahamkan Jabatan Perhutanan Perak telah berbincang dengan pihak bomba untuk membawa turun mayat warga emas itu menggunakan helikopter kerana perjalanan ke lokasi dengan berjalan kaki mengambil masa antara lapan hingga 10 jam.

Pada Ahad lalu, dua pendaki wanita dihanyutkan kepala air ketika menjalankan aktiviti pendakian bersama 27 yang lain di Gunung Suku di Simpang Pulai.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Klang dan Cheras.

Sumber: Astro Awani