Tanam Lebih 100 Pokok Ganja Keliling Rumah, Bekas Diplomat Berpangkat Datuk Diberkas Polis

24 May 2022 • 2:42 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sekitar penghujung Mac yang lalu, orang ramai di Malaysia dikejutkan dengan berita penahanan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman di rumahnya di Kota Damansara kerana terlibat dengan kes berkaitan dadah.

Polis kemudiannya memaklumkan berjaya menemui 17 pasu pokok ganja selain dua plastik lut sinar ketulan mampat ganja seberat 214 gram yang disifatkan mereka seperti satu kebun mini di dalam rumah kondo itu.

Miliki ladang ganja

Terbaharu, seorang bekas diplomat berstatus Datuk pula menjadi perhatian selepas media melaporkan penahanannya kerana disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja di kawasan rumahnya yang terletak di Janda Baik, Pahang.

Ini boleh dikategorikan sebagai kes rampasan terbesar di dalam sejarah narkotik negara memandangkan 102 batang pokok terlarang itu ditanam di ladang sekitar rumahnya berbanding kes-kes terdahulu yang hanya melibatkan tanaman ganja di dalam pasu sahaja.

Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek turut memprosesnya menjadi daun kering dan cecair untuk dijual kepada kenalan dan pelanggan tetap.

image is not available
Foto : Polis Pahang

Guna 8 ekor anjing jaga ladang ganja

Menurut Ramli, suspek turut mengaku sudah mula menjalankan aktiviti menanam pokok ganja sejak 2015. Dia turut menggunakan khidmat lapan ekor anjing bagi menjaga ladang tanaman terlarang seluas dua hektar itu.

image is not available
Foto : Polis Pahang

Belajar di YouTube

Sewaktu siasatan dijalankan suspek turut mengakui hanya menggunakan YouTube untuk mempelajari kaedah penanaman dan pemprosesan dadah itu manakala benih pokok itu diperoleh daripada ganja mampat yang dibelinya di Kuala Lumpur tujuh tahun lalu.

“Pemeriksaan di belakang garaj rumah itu membolehkan polis menemukan lima batas ditanam 60 pokok ganja dan lapan pokok di sebuah khemah.

“Polis turut menemukan 34 pokok tapak semaian menjadikan jumlah keseluruhan 102 pokok ganja ditemukan dengan nilai rampasan RM61,200,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

image is not available
Foto : Polis Pahang

Dalam serbuan sama, polis turut merampas daun kering ganja seberat 1.02 kilogram bernilai RM2,500, selain cecair botol ganja yang dijual pada harga RM250 sebotol.