Tragedi Jeti Runtuh, 2 Remaja Lelaki Mati Lemas 

3 May 2022 • 1:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lokasi jeti runtuh di Kampung Gading-Gading, Semporna, yang mengorban dua remaja. - Gambar ihsan PDRM

SEMPORNA - Kemeriahan enam remaja menyambut Hari Lebaran bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas selepas jeti dinaiki runtuh di Kampung Gading-Gading, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa yang berusia 14 dan 19 tahun ditemui polis dan orang kampung kira-kira 30 minit kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Terdahulu, mereka bersama empat yang lain termasuk dua perempuan berusia antara 11 hingga 19 tahun menaiki jeti kayu berkenaan dipercayai untuk melepak.

Bagaimanapun, jeti tersebut tiba-tiba runtuh, menyebabkan semua remaja terbabit jatuh ke laut.

Nahas terbabit  disedari orang kampung dan anggota polis sebelum mereka berjaya menyelamatkan empat daripada kumpulan remaja tersebut.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dua lagi remaja lelaki gagal ditemui, menyebabkan gerakan mencari segera dilancarkan.

“Kedua-duanya ditemui pada jam 4.30 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia satu jam kemudian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Tambah Mohd Farhan, polis masih menyiasat punca jeti tersebut runtuh, namun siasatan awal mendapati, ia berkemungkinan berpunca daripada struktur kayu yang usang. - Getaran, 3 Mei 2022