
ALOR SETAR: Kedah mencatatkan 422 kes daripada 1,650 kes kemalangan jalan raya di seluruh negara sejak Op Selamat 18 dilancarkan pada 29 April lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata daripada 72 kes kemalangan maut dengan 76 kematian yang direkodkan sepanjang tempoh empat hari operasi berkenaan, negeri itu mencatatkan lima kes kematian.
“Angka ini agak tinggi jika dinilai daripada perspektif keselamatan, kesan sosial dan impak yang perlu ditanggung oleh individu yang terlibat dalam kemalangan termasuk keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pertambahan mendadak jumlah kenderaan di negeri itu juga mungkin menjadi antara penyebab kepada peningkatan kadar kemalangan.
“Saya memahami bahawa Hari Raya Aidilfitri kali ini agak istimewa bagi kita semua setelah dua tahun tidak dapat balik kampung untuk meraikannya bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Justeru, saya ingin menasihatkan rakyat Kedah termasuk perantau yang pulang berhari raya di kampung supaya lebih berhati-hati di jalan raya pada musim perayaan ini. Jangan terburu-buru ketika memandu walau dalam apa jua keadaan kerana keselamatan diri dan keluarga perlu diutamakan,” katanya.
Muhammad Sanusi juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko dengan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) walaupun telah diberikan banyak kelonggaran oleh kerajaan setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lepas. - Bernama
