
TELUPID: Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Tongod sedang mengesan keluarga atau waris kepada seorang kanak-kanak lelaki yang kini dianggar berusia empat tahun dan dikenali sebagai Evan Rhodes (gambar).
Penjaga kanak-kanak itu berkata dia diserahkan ibunya yang juga jirannya, di kediamannya (pengadu) di Taman Chrysanthemum, Batu 1 1/2 Sandakan pada 6 Oktober 2020 iaitu ketika kanak-kanak itu berusia dua tahun.
Ibunya yang hanya dikenali sebagai Mary meminta pengadu menjaga anaknya itu kerana mengatakan ada urusan yang perlu diselesaikan di Tamparuli dan akan mengambil semula anaknya itu selepas selesai urusan berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini ibu kanak-kanak itu tidak lagi muncul untuk mengambil anaknya, selain pengadu juga telah berusaha menelefonnya berulang kali tetapi gagal.
Laporan polis juga telah dibuat oleh pengadu selaku penjaga sementara kanak-kanak itu pada Mac tahun ini di Balai Polis Beluran untuk rujukan bersama pihak Jabatan Kebajikan.
Pelindung Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Telupid, Arnold Gongora, berkata, orang ramai yang mengenali waris atau keluarga kanak-kanak itu boleh menghubungi pejabat itu atau beliau pada talian 089-521150 atau 087-748837 bagi menyalurkan maklumat berkenaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
