
SHAH ALAM, 29 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan kempen ‘Smart Cycling’ di Stadium Shah Alam di sini hari ini.
Program anjuran Komuniti Belia Selangor (SAY) itu bertujuan mendidik masyarakat berbasikal dengan mengutamakan keselamatan serta persediaan yang perlu dibuat sebelum dan ketika berkayuh.
Tengku Amir menerusi ucapannya turut bertitah kempen tersebut amat penting bagi memperkasa dan menyatupadukan semua sudut ekosistem berbasikal di Selangor.
“Kempen ini bukan sahaja menyatupadukan komuniti berbasikal tetapi juga bagi memberi maklumat, pengetahuan dan pelbagai lagi persediaan kepada pengayuh sama ada yang baharu atau lama.
“Ia juga untuk meningkatkan kesedaran dan wujud sifat toleransi dalam kalangan pengguna jalan raya di samping mengelak berlakunya kemalangan tidak diingini,” titahnya.
Kempen ‘Smart Cycling’ yang dibiayai oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut mendapat kerjasama strategik Malaysian National Cycling Federation (MNFC), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Darul Ehsan Facilities Management (DEFM).

Pelbagai pengisian menarik diadakan sejak 8 pagi hingga 2 petang antaranya Klinik ‘Ride Safe’ iaitu pengayuh akan diajar persediaan serta keselamatan ketika mengayuh dan perkara yang boleh dilakukan dan sebaliknya ketika berkayuh.
Selain itu, turut diadakan pertandingan ‘Push Bike’ bagi kanak-kanak tiga hingga enam tahun, persembahan basikal BMX, sesi forum dan pameran daripada pelbagai agensi serta persatuan basikal.
Tengku Amir juga tidak ketinggalan meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra dengan pengayuh cilik selain melawat gerai pameran basikal.
The post Raja Muda Selangor berkenan rasmi kempen berbasikal pintar appeared first on Selangorkini.


