Bot pukat bilis terbakar, 24 kru diselamatkan

30 Apr 2022 • 11:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Seramai 24 kru bot nelayan pukat bilis termasuk tekong diselamatkan selepas bot mereka terbakar di perairan berhampiran Pulau Buyong di sini pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mereka diselamatkan oleh bot-bot bilis dan nelayan lain yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar 7.30 malam, namun tiada mangsa yang mengalami kecederaan serius.

"Beberapa bot nelayan berdekatan membantu memadamkan kebakaran bot pukat bilis yang terbakar itu seterusnya menyelamatkan kesemua kru," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

image is not available

Shariman berkata, pihaknya menerima makluman tentang kejadian daripada Pegawai Pemerintah Markas Operasi (PPMO) Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi mengenai kebakaran bot bilis KH 455.

"Pasukan Polis Marin turut memaklumkan kepada Maritim Langkawi untuk bertindak.

"Kesemua mangsa dibawa balik ke Pangkalan Polis Marin Bukit Malut oleh bot Pasukan Polis Marin," katanya.