
SHAH ALAM - "Terus terang saya cakap, saya rasa Altimet akan menang, itu dalam hati saya yang ikhlas, kalau saya menang saya gembira tapi saya rasa dia akan menang,".
Demikian pengakuan Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, berhubung perlawanannya dengan rakan artis Altimet bagi merebut jawatan Ketua Cabang Ampang bagi Pemilihan PKR 2022.
Selain mereka berdua, calon lain yang turut memberi saingan dalam pertembungan itu ialah Abdullah Md Zain; Sam Hoo Wai; Abdul Halim Mohamed Yusof; Daing Muhammad Reduan Bachok serta Abdul Latif Shaari.
Jelasnya, keyakinan itu di dasari dengan maklumat awal yang diperolehnya, yang menjangkakan jawatan itu akan dimenangi oleh Altimet.
"Dia (Altimet) jika menang kita akan beri sokonganlah, semalam saya sudah ucapkan tahniah, beritahu dia Ketua Cabang Ampang PKR yang baharu, kerana saya tahu apa yang berlaku sekeliling, reaksi dia 'cool' sahaja, sebenarnya sebelum orang tanya, saya sudah tanya semalam, tetapi apa pun kita tunggu keputusan rasmi," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Tambahnya, sebenarnya keputusan itu sudah boleh dijangka oleh mereka yang bertanding kerana pemilihan itu menggunakan sistem 'cai'.
"Macam inilah kita tahu, pemilihan parti ini kebanyakannya adalah cai-cai yang akan datang. Maksudnya kita ada sokongan, kita tahu sokongan itu datang daripada mana, dan kita tahu 'numbers' (sokongan) kita.
"Saya tahu sokongan undi saya, saya berterus terang saya tahu anggaran, berapa ramai yang undi untuk saya sebab kami yang telefon, kami yang jemput, kami cuba sokong mereka untuk datang mengundi, kita tak paksa tapi kita tahu mana yang sokong mana yang tak, jadi kita tahulah, " katanya.
Dalam pada itu mengulas, sekiranya jangkaan itu tepat adakah Hans akan kecewa atau sebaliknya, tegas bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu dia akan meneruskan perjuangannya dalam PKR seperti biasa.
"Saya akan terus perjuangan dalam PKR dan NGO saya, niat saya hendak bantu satukan Ampang, orang pun tahu niat saya, ini bukan soal peribadi, hendak jawatan, berniaga masuk politik itu bukan saya," katanya.
Sementara itu, Altimet ketika menjawab telahan itu berkata, buat masa ini dia hanya berserah selepas selesai menunaikan tanggunjawab semalam.
"Alhamdulillah semua perkara berjalan lancar,kita tunggu keputusan esok (saya tidak pasti), saya tidak pasti menang atau tidak saya berserah, itu cara orang Islam (berserah), terima seadanya," katanya.
Dalam pada itu, dia turut mengucapkan tahniah kepada semua pesaingnya, yang komited bertanding menggunakan pendekatan yang sihat.
"Mereka jalankan kempen yang bersih dan efisyen, saya banyak belajar daripada mereka," katanya.
Datuk Zuraida kamarudin menang tanpa bertanding jawatan Ketua Cabang Ampang pada Pemilihan PKR 2018.
Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR pada 2020 dan bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Pemilihan PKR 2022 berlangsung sejak 13 Mei lalu dan akan berakhir pada 22 Mei (Ahad) melibatkan Perak, Sabah dan Sarawak.
Sementara untuk pemilihan secara dalam talian, ia diadakan pada17 Mei bagi pengundi luar negara dan 18 hingga 20 Mei bagi ahli yang memilih untuk berbuat demikian.
