Pihak Berkuasa Buku Sharjah Mengalu-Alukan Kerjasama Dengan Penerbit Asia

22 May 2022 • 9:21 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Pihak Berkuasa Buku Sharjah (SBA) bersikap terbuka dan mengalu-alukan kerjasama dengan lebih ramai penerbit dari negara Asia untuk menyertai pesta buku atau festival itu pada masa hadapan.

Pengarah Pameran dan Festival SBA Khawla Al Mujaini berkata agensi itu amat berminat untuk menjalinkan kerjasama termasuk dengan penerbit dari Malaysia.

image is not available

“Kami sentiasa bersikap terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan penerbit Asia, kami gembira melihat kehadiran mereka dan kami berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka selepas ini,” katanya kepada pemberita di Festival Membaca Kanak-Kanak Sharjah (SCRF) 2022, di sini hari ini.

Bercakap mengenai maklum balas SCRF 2022, Al Mujaini berkata acara itu menerima banyak maklum balas positif menerusi media sosial oleh para pelawat.

image is not available

"Tinggal dua hari lagi (hari ini dan esok), tetapi setakat ini kami dapat lihat, ia sangat sesak di sini," katanya.

Sempena dua hari terakhir festival berkenaan, orang ramai memanfaatkan cuti hujung minggu untuk mengunjunginya bagi membeli buku-buku selain menyertai pelbagai acara menarik yang disediakan untuk anak-anak mereka.

Kumpulan pelajar juga dilihat mengambil peluang untuk terlibat dalam aktiviti di festival berkenaan.

Edisi ke-13 SCRF berlangsung di Pusat Ekspo Sharjah mulai 11 hingga 22 Mei.

image is not available

Tahun ini, festival itu menawarkan lebih 1,900 aktiviti, termasuk 1,140 aktiviti yang membabitkan kanak-kanak, 120 aktiviti kebudayaan dan 130 persembahan artistik dan produksi teater. - Bernama

Gambar: Bernama