Apabila bercakap tentang kemurungan, kita sering mengaitkannya dengan simptom seperti rasa sedih berpanjangan atau perasaan putus asa.
Tahukah anda bahawa ada pelbagai jenis simptom lagi yang boleh dikaitkan dengan kemurungan?
Penulis kongsikan di sini 7 lagi tanda-tanda kemurungan yang anda mungkin tidak tahu. Semoga bermanfaat.
1) Rasa Terputus Hubungan dengan Diri Sendiri
Seseorang yang menghidap kemurungan cenderung merasakan bahawa mereka tidak lagi mengenali siapa diri mereka. Kadangkala mereka rasa rindu terhadap diri mereka yang dahulu dan rasa terputus hubungan dengan identiti mereka yang lalu.
2) Sukar Tidur Dalam Suasana Senyap
Terdapat juga individu kemurungan yang merasakan sukar untuk melelapkan mata jika suasana keliling terlalu senyap. Ini kerana suasana tersebut boleh membuka jalan kepada fikiran-fikiran negatif memasuki dan kemudiannya menghalang minda mereka dari dapat berehat.
3) Pergerakan Menjadi Perlahan
Keletihan tubuh badan membuatkan anda hilang tenaga menyebabkan pergerakan menjadi lebih perlahan dari biasa. Gejala ini turut dikenali sebagai psychomotor retardation yang banyak dikaitkan dengan penghidap kecelaruan episod kemurungan major (MDD).

penghidap kemurungan. Kredit foto: freepik.com
4) Daya Ingatan Menjadi Lemah
Bayangkan jika anda menjadi lupa akan hal-hal harian yang biasa. Perkara semudah mengingati di mana letaknya kunci rumah, atau kereta. Barang yang baru sahaja ditinggalkan di sesuatu tempat, beberapa minit kemudian anda tidak ingat lokasinya.
Itulah yang dialami oleh sesetengah penghidap kemurungan. Bagi individu normal perkara ini pelik tetapi ini merupakan realiti yang tidak asing bagi yang menghadapinya.
5) Terperangkap Dalam Sesuatu Persepsi / Pemikiran
Anda seringkali teringat atau terbayang kesilapan lalu. Boleh jadi juga anda berasa tersekat dalam pergelutan minda sendiri. Contohnya: “Mesti ramai dekat tempat kerja tak suka aku sekarang.” Ini juga antara simptom bagi individu kemurungan.
6) Turun Naik Berat Badan Drastik
Perubahan besar dalam selera makan serta tahap metabolisme badan tidak seimbang boleh membuatkan mereka yang kemurungan mengalami turun naik berat badan secara mendadak.
7) Mudah Keliru
Hal ini boleh berlaku kepada individu kerana kemurungan boleh mengaburi cara seseorang menilai sesuatu perkara. Gangguan ini membuatkan penghidap meragui cara berfikir mereka lantas mencetuskan rasa keliru.
Kesimpulan
Dapat disimpulkan di sini bahawa simptom kemurungan itu adalah pelbagai dan berbeza dari individu ke individu yang lain.
Perkara terbaik yang kita boleh lakukan apabila berhadapan dengan individu yang menghidapi kemurungan adalah dengan untuk tidak mudah menjatuh hukum terhadap mereka. Kita juga perlu mengamalkan empati terhadap orang lain kerana kita tidak tahu cabaran apa yang mereka lalui dalam hidup mereka.
Pesanan Penulis
Jika anda merasakan mana-mana simptom-simptom di atas, sila hubungi atau dapatkan khidmat nasihat pakar kesihatan bertauliah bagi mendapatkan diagnosis. Artikel ini tidak mewakili sebarang diagnosis kesihatan dan hanya sekadar perkongsian penulis bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kesihatan mental.
Sumber:
- TheDepressionProject.com
- Buku Panduan Kesihatan Mental
KadangKaler adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.
