Mayat nelayan hilang seminggu lepas ditemukan hari ini

23 May 2022 • 7:50 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA TERENGGANU: Mayat nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Chendering pada 16 Mei lepas, ditemukan terapung pada kedudukan 28 batu nautika timur Kuala Terengganu pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli(gambar) berkata mayat nelayan warga emas dikenal pasti sebagai T. Razali Wok, 74, itu ditemukan oleh sekumpulan nelayan tempatan.

“APMM Terengganu bersama Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah menggerakkan bot Pengawal 16, untuk membawa mayat ke jeti Maritim Negeri Terengganu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pengadu dan meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan segera sebarang maklumat kecemasan serta salah laku di perairan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya maklumat boleh disalurkan di talian MERS 999 atau 09-6223657 Pusat Operasi Maritim negeri.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berasal dari Kampung Raja, Chendering dekat sini, dipercayai terjatuh kira-kira 5.30 pagi, ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong.-Bernama