Pelayar warga Perancis ditahan di Mersing

27 May 2022 • 1:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

MERSING - Seorang pelayar warga Perancis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Mersing kerana memasuki perairan negara secara haram, berhampiran muara Sungai Mersing di sini, tengah hari Khamis.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, lelaki berkenaan ditahan di perahu layarnya yang sedang bersauh di kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika timur dari muara Sungai Mersing, pada jam 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, lelaki berumur 44 tahun itu yang sedang menuju ke Pulau Tioman, Pahang dari Krabi, Thailand, telah mengemukakan dokumen perjalanan tanpa cop kemasukan ke Malaysia.

"Hasil pemeriksaan mendapati pelayar terbabit juga gagal melaporkan ketibaan memasuki perairan negara, sebelum ditahan bersama perahu layarnya untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Khairul Nizam berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1952 kerana tiada cop kemasukan ke Malaysia yang sah dan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tidak melaporkan ketibaan memasuki perairan negara kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia. - Bernama