
Alat kawalan jauh pesawat udara atau ‘RC Udara’ merupakan sebuah permainan dan boleh juga dianggap sukan rekreasi udara yang telah wujud sejak tahun 80-an.
Ia adalah salah satu aktiviti yang mempunyai kelompok peminatnya tersendiri dan alatannya memiliki pelbagai jenis dan bentuk.
Dahulu, peranti ini menggabungkan penggunaan bahan bakar seperti minyak dan alat elektronik untuk menghidupkan kenderaan pernerbangan tersebut.
Kini dengan kemajuan teknologi yang ada, ia boleh dikawal dengan pelbagai sistem sokongan elektrik serta elektronik.
Getaran berpeluang mendekati sebuah komuniti RC udara yang bernama Air Rovers Bellatrix dan sempat mewawancara Setiausaha Kelab Ulu Klang Radio Control Club (UKRCC), Farhanudin Abdul Razak di lapangan terbang RC Presint 20, Putrajaya, untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan aktiviti ini.

Secara amnya, terdapat tiga jenis model pesawat kawalan jauh yang wujud pada zaman ini iaitu dron, kapal terbang dan helikopter.
Setiap individu yang sudah mempunyai kemahiran untuk menerbangkan pesawat akan digelar juruterbang RC mengikut pesawat yang dipandu menggunakan alat kawalan jauh.

Farhanudin merupakan salah seorang jururterbang RC yang lebih cenderung ke arah penerbangan dron.
Dia yang sudah berkecimpung dalam aktiviti ini hampir lima tahun telah menerbangkan beberapa jenis dan saiz dron yang dipasangkan bersama sistem kamera dengan tujuan-tujuan tertentu.
Ini termasuk dron mikro (ruang dalaman tertutup), sinematik (rakaman video atau filem), perlumbaan dan gaya bebas.
Kemahiran yang ada pada beliau membolehkannya diiktiraf sebagai seorang pelatih dron yang sah untuk mendidik pengguna pesawat RC yang lain.

Beralih pula kepada pesawat jenis kapal terbang dan helikopter, ia terbahagi kepada dua iaitu 3D dan Scale.
Bagi jenis Scale, ia merujuk kepada pesawat yang dibina mengikut spesifikasi, reka bentuk serta ciri-ciri seperti pesawat sebenar, cuma ia dihasilkan dalam skala yang lebih kecil.
Malah terdapat sesetengah daripadanya mencipta pesawat yang berkonsepkan ketenteraan.
Ini termasuklah cara ia berlepas, kendalian ketika di ruang udara dan semasa mendarat pada kawasan landasan yang disediakan.

Manakala bagi pesawat jenis 3D pula, aksinya lebih lincah dan agresif di ruang udara serta pasti memukau mata yang menonton, khasnya pesawat jenis helikopter.
Penulis sendiri terkesima dengan kemampuan pesawat tersebut yang sangat luar biasa.
Malah kadang-kala pergerakan yang dilakukan oleh juruterbang Azlan Mukhtarizan menggunakan alat kawalan jauh seperti tidak masuk akal.

Penulis bertanya sempat bertanya, apakah model permulaan RC udara yang disarankan buat individu yang ingin menyertai sukan ini.
“Buat individu baharu yang berminat untuk menyertai sukan ini, kami seringkali menyarankan untuk bermula dengan dron mikro kerana ia lebih kecil, selamat dan mudah dikendalikan berbanding yang besar”.

“Tetapi percayalah selepas menguasai kemahiran dan mendapat ‘feel” semasa mengendalikan penerbangan, tiba masa anda akan bertukar kepada saiz dan jenis pesawat yang lebih besar. Ini kerana rasa ketagihan untuk menerbangkan pesawat RC ini adalah benar belaka," ujarnya sambil tersenyum.

Di samping itu, undang-undang asas bagi penerbangan pesawat ini pula tidak sesukar seperti yang disangka.
Jika model tersebut berada dibawah gred hobi seperti yang dinyatakan, dengan berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan, anda boleh menerbangkannya sejauh 400 meter dan ketinggian sehingga 120 meter tanpa lesen.
Namun jika ia mempunyai tujuan tertentu seperti tinjaun kawasan, kelulusan permit diperlukan.
Ia diikuti dengan syarat wajib iaitu pesawat tersebut haruslah diterbangkan tanpa memasangkan sebarang peralatan tambahan seperti senjata tajam.
Mungkin ada yang beranggapan bahawa ini merupakan sebuah “hobi mahal” dan hanya untuk golongan tertentu sahaja.
Namun perkara yang paling penting ditekankan oleh Farhanudin ialah ‘ukur baju di badan sendiri’.
Tidak salah untuk bermula dengan model yang lebih kecil terlebih dahulu. Kemudian secara perlahan-lahan menaik tarafkan pesawat tersebut.
Tiada gunanya jika bermula dengan pesawat yang besar tetapi kemahiran mengendalikan masih di tahap yang rendah.
Jika terhempas atau ‘crash’, pasti lebih besar kos yang perlu dikeluarkan.

“Jika kita lihat di pasaran, sudah terdapat pelbagai jenis jenama yang boleh diperolehi dengan mudah pada harga mampu milik serta selamat digunakan.
“Selain itu, keberadaan dan kecanggihan teknologi pada masa ini juga membantu untuk mengurangkan kos berbanding model 10 tahun yang lalu. Ini kerana ia lebih mahal dari segi komponen dan alat ganti yang perlu dibeli dari luar negara.
“Kini sudah terdapat kilang pembuatan alat RC ini di Johor Bahru yang memudahkan para juruterbang RC mendapatkan barangan atau komponen yang diperlukan,” katanya lagi.
Farhan yang juga merupakan penguji peserta lencana RC Penerbang Pengakap Udara Daerah Bandar Tun Razak, turut menjadikan langkah keselamatan sebagai keutamaan.
Sebelum melaksanakan pelepasan bagi setiap jenis penerbangan atau kejohanan, sesi percubaan perlu dimulakan terlebih dahulu.
Jarak antara juruterbang dan pesawat yang telah ditetapkan juga wajib dipatuhi.

“Setiap perkara kecil perlu diteliti. Jika kedengaran sedikit bunyi yang janggal pada pesawat ketika diterbangkan, ia perlu dihentikan serta merta untuk membuat pemeriksaan.
“Sekecil skru pun jika tertanggal boleh menyebabkan kecederaan dan kemalangan. Begitulah pentingnya keselamatan pesawat RC udara ini”, ujarnya.
Oleh sebab itulah pentingnya ada pelbagai pertubuhan komuniti yang ada di Malaysia seperti Kelab Aeromodeller Malaysia, Malaysia Unmanned Drones Activist Society (Badan bukan NGO), Air Rovers Bellatrix dan banyak lagi.
Fungsinya untuk memberikan pendedahan dan bimbingan serta ujian kelulusan terhadap ahli-ahli mereka supaya mereka tidak mengeluarkan kos yang tidak sepatutnya.

Setakat ini, tiada cabaran besar yang dilalui oleh komuniti atau persatuan RC udara ini dalam membentuk dan membangunkan kemajuan teknologi ini.
Namun masalah utama yang dihadapi ialah mempunyai lokasi atau landasan yang khusus untuk menjalankan aktiviti ini.
“Saya berharap agar pihak tertentu dapat memberi peluang dan mengemukakan cadangan untuk mewujudkan beberapa kawasan yang lebih statik dan efektif.
“Ini bagi menggalakkan orang ramai terutamanya generasi muda untuk menimbulkan minat mereka berkecimpung dalam sukan ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Secara peribadi, penulis merasakan aktiviti ini adalah salah satu kegunaan teknologi yang berguna untuk masa depan.
Hobi atau persatuan RC udara perlu diketengahkan dan dipertingkatkan kerana kemahiran untuk mengendali pesawat tersebut dapat memberikan kemajuan terhadap kebanyakan industri yang ada di dalam negara. - Getaran, 28 Mei 2022.
DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN
Wajah TARA : Ahli Kelab Air Rovers Bellatrix
Editor Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri
Teks & Penyelaras : Izwan Ramlan
Suntingan Teks : Shah Shamshiri
Jurugambar : Abd Razak Latif
Juruvideo & Suntingan Video : Mustaffa Kamal Ramli
Rekaletak : Abdul Hanif Zahari
Lokasi: Landasan RC Presint 20 Putrajaya (Kelab Aeromodelling Putrajaya)
(Sekalung penghargaan buat En. Farhanudin Abdul Razak dan Azlan Mukhtarizan)
