
KOTA MARUDU: Polis di sini sedang menjejaki seorang lelaki berumur 34 tahun untuk membantu siasatan satu kes pergaduhan yang melibatkan kecederaan parah di Pusat Komersil Langkon, di sini, baru-baru ini.
Suspek, Ramlie Awang, dipercayai telah meninggalkan darah itu selepas menetak seorang lelaki menggunakan sebilah parang dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, mangsa berumur 26 tahun itu mengalami luka sepanjang 10cm pada bahagian kiri kepala serta retak tempurung kepala. Bagaimanapun, mangsa dilaporkan stabil setelah diberikan rawatan.
Menurut Zairolnizal, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca dari rasa tidak berpuas hati mangsa terhadap suspek yang pernah memukulnya dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Ranau di sini, tujuh tahun lalu.
“Siasatan awal mendapati, kira-kira pada jam 6 petang, semasa sedang makan bersama sepupunya di sebuah restoran, mangsa ternampak suspek di luar kedai dan menghampirinya.
“Mangsa kemudian menolak dagu suspek dan suspek bertindak balas dengan mengambil sebilah parang yang ada di dalam keretanya kemudian mengejar mangsa dan bertindak menetak kepala mangsa menggunakan parang itu.
“Sepupu mangsa bertindak meleraikan pergelutan itu dan merampas parang daripada suspek.
“Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Saga Sedan berwarna putih dengan nombor pendaftaran palsu,” katanya sambil menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Zairolnizal memohon kerjasama orang ramai yang mengetahui keberadaan suspek agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
