'Jagung, hampas isirung alternatif makanan ayam' - Ismail Sabri

LocalPolitics
23 May 2022 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) akan menjadi alternatif kepada makanan ayam di negara ini.

Ia selepas mesyuarat kabinet menerima beberapa pandangan daripada ahli Jemaah Menteri mengenai perkara terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat juga bersetuju meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung, PKC dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, kabinet juga bersetuju supaya lesen import (AP) gandum dibatalkan.

"Susulan daripada pengumuman saya sebelum ini berkaitan pemansuhan AP bahan makanan, kabinet hari ini juga bersetuju supaya AP gandum dibatalkan.

"Semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia," katanya.

Tegas Ismail Sabri, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.

"Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan," ujarnya.