Mangsa Tembak Dipercayai Baru Dilantik Ketua Kongsi Gelap

26 May 2022 • 6:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang lelaki maut selepas ditembak dari jarak dekat dalam kejadian yang berlaku berhampiran sebuah restoran di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, semalam. - Gambar dari media sosial

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki yang maut akibat ditembak berhampiran sebuah restoran di Jalan Kampung Baru, dekat sini semalam, dipercayai baru saja dilantik sebagai ketua sebuah kumpulan kongsi gelap.

Sumber memaklumkan, polis ketika ini giat menjalankan siasatan dari segenap aspek, termasuk kemungkinan timbul rasa tidak puas hati atau perebutan kuasa dalam kumpulan kongsi gelap berkenaan.

"Mungkin ada elemen tidak puas hati, perebutan kuasa dan sebagainya kerana mangsa dikatakan baru saja menjadi ketua kumpulan tersebut.

"Selain itu pelbagai faktor lain turut tidak boleh diketepikan termasuk kemungkinan dendam daripada musuh. Semua aspek itu akan dinilai dan siasatan kini masih berada di peringkat awal," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, seorang lelaki berusia 36 tahun maut setelah ditembak beberapa kali dari jarak sekitar satu meter.

image is not available
Wan Hassan Wan Ahmad - Gambar oleh Alif Omar

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, polis menemui sekurang-kurangnya lapan kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Mangsa sebelum dibunuh katanya, didatangi empat suspek yang menaiki dua motosikal.

Sumber itu menambah, seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga rakan mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Individu ditahan itu mengaku yang dia juga merupakan ahli kumpulan kongsi gelap tersebut dan mangsa baru saja dilantik menjadi ketua kumpulan berkenaan. Namun dia menafikan terlibat dengan kejadian pembunuhan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk G. Suresh Kumar mengesahkan penahanan individu berkenaan namun enggan mengulas lanjut memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan. – Getaran, 26 Mei 2022