
Kundasang: Adat ‘rumah terbuka’ yang diamalkan dalam kalangan masyarakat di Malaysia semasa perayaan merupakan wadah yang memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum, merentasi sempadan agama, kaum dan ideologi politik, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, adat turun-temurun yang diamalkan oleh rakyat di sini iaitu saling menziarahi antara satu sama lain pada Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan lain-lain adalah erti perpaduan.
“Dapat hidup dalam perpaduan dan menikmati hasilnya adalah antara nikmat terindah yang kita warisi di negara ini. Ia sesuatu yang rakyat harus bersyukur dan berusaha sedaya upaya untuk memelihara keamanan serta keharmonian tanah air kita.


