Debat Najib Dan Anwar Malam Ini!

Politics
12 May 2022 • 8:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar oleh Alif Omar

Saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV dengan berbesar hati bakal membawakan siaran langsung program istimewa ‘Debat Perdana’ yang menampilkan dua figura berpengaruh dalam arena politik tanah air, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Program debat bersejarah di antara bekas Perdana Menteri dan Presiden PKR yang juga merupakan Ketua Pembangkang yang diadakan di Auditorium, Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) pada malam ini akan berkongsi gelanggang buat pertama kali dalam sesi debat awam untuk merungkai polemik yang melanda Sapura Energy Berhad (SEB) serta mengupas pelbagai isu panas berkaitan hala tuju negara daripada aspek ekonomi, politik dan urus tadbir.

Cabaran sesi debat malam ini tercetus selepas Najib dan Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran menyelamatkan (bailout) Sapura Energy Berhad (SEB).

“Sebagai sebuah stesen penyiaran baharu, ia merupakan sebuah penghormatan kepada kami untuk menjadi sebahagian dari peristiwa bersejarah ini serta turut sama diberi ruang untuk meraikan semangat politik negara yang dilihat lebih matang dan terbuka ini. 

“Kami merasakan program debat secara terbuka yang julung kali diadakan seumpama ini mampu memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan pandangan dalam suasana yang aman dan harmoni,”kata Dato’ Adam Ilyas yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksklusif Awesome TV.

Debat perdana akan ditayangkan pada jam 9.00 malam menerusi  platform Awesome TV di saluran Astro 123 dan MyTV 112. - Getaran, 12 Mei 2022