Penjawat awam cabul remaja dijel 20 tahun

25 May 2022 • 12:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seorang penjawat awam berusia 46 tahun dipenjara 20 tahun dan dikenakan enam sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas didapati bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh didakwa mencabul mangsa di dalam tandas sebuah rumah kuarters kerajaan di Jalan Air Panas pada jam 3.30 pagi, 12 Januari 2021.

Kedua-dua perbuatannya melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang juga anak rakannya itu, dilakukan di lokasi dan tarikh yang sama.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan rotan bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh dan dijalankan secara serentak, manakala hukuman sebatan secara berasingan.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bagi kedua-dua pertuduhan.

Fakta kes menunjukkan, mangsa dan bapanya datang ke rumah tertuduh untuk berubat cara kampung kerana masalah gangguan makhluk halus.

Tertuduh pada awalnya memberi rawatan di ruang tamu sebelum memaklumkan untuk memandikan mangsa di dalam tandas, di mana dia mencabulnya.

Timbalan Pendakwaraya, Mohd Suhaimi Suriana tampil mendakwa, manakala tertuduh diwakili AG Amli Noraufe AG Nohin.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.