
SUBANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru menamatkan lawatan kerja di Amerika Syarikat (AS) tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pagi Ahad.
Kira-kira 400 orang berada di pekarangan pangkalan udara itu untuk menyambut ketibaannya dengan membawa pelbagai kain rentang.
Antara yang kelihatan tertera pada kain rentang adalah "DSIS lantang perjuangkan rakyat Palestin di depan pemimpin dunia”, "Salute keberanian YAB PM tak gentar perjuangkan isu keamanan depan pemimpin dunia” dan "Thank you PM DSIS less talk, more action" diiringi lagu patriotik ‘Inilah Barisan Kita’.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ismail Sabri turut memberhentikan kenderaannya serta meluangkan masa kira-kira setengah jam menyantuni mereka yang hadir.
Dalam sidang akhbarnya di penghujung lawatan, beliau menyifatkan lawatan itu sebagai satu kejayaan dalam mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS serta ASEAN-AS dan pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS pula, Perdana Menteri menyentuh pelbagai isu termasuk krisis Rusia-Ukraine, Laut China Selatan, Palestin dan Myanmar.
Seorang pereka kandungan media, Muhammad Adib Aiman Badrul Shahar, 33, berkata, beliau tiba di pekarangan pangkalan udara itu pada jam 8 pagi bagi menyambut kepulangan Perdana Menteri.
"Kepulangan Perdana Menteri dari AS membawa berita baik, mengundang kehadiran pelabur luar, di samping membawa nama baik Malaysia dan tidak salah untuk kita menyambutnya,” katanya.
Beliau berkata, seperti mana orang ramai menyambut kepulangan atlet yang membawa kejayaan kepada negara, perkara seumpama itu juga patut dilakukan kepada Perdana Menteri yang lantang bersuara di peringkat antarabangsa.
Siswazah Universiti Malaya, Wan Nuremmelly Mekar, 21, yang tiba di pangkalan itu sekitar jam 7.50 pagi pula berkata: "Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa bangga kerana Perdana Menteri berpeluang ke AS untuk bertemu dengan pemimpin dunia,” katanya. - Bernama
