
PETALING JAYA: Bekas menteri luar, Syed Hamid Albar berkata, rancangan Putrajaya mengeluarkan kad perakuan pelarian sendiri mampu direalisasikan, selagi kerajaan dapat memastikan ia boleh mematuhi norma antarabangsa.
“Saya fikir ia satu langkah yang baik untuk Malaysia lakukan. Kita mesti memastikan kita mengikut norma antarabangsa,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau turut menyarankan Putrajaya meneruskan kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agensi di bawahnya berhubung perkara itu, memandangkan Malaysia menyokong sistem pelbagai hala badan dunia terbabit sejak negara mencapai kemerdekaan.
Pada 29 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, kerajaan sedang merancang mengeluarkan sendiri kad perakuan pelarian melalui agensi yang bertanggungjawab dalam perihal itu.
Ini kerana, katanya, Malaysia yang sepatutnya menentukan sama ada pelarian itu boleh tinggal di negara ini dan diberikan kad yang dikeluarkan agensi kerajaan Malaysia bertanggungjawab.
Beliau berkata, hanya sebuah badan di negara ini yang boleh mendaftarkan seseorang tinggal dengan sah iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pada April 2020, Hamzah dilaporkan berkata, kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian etnik Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status serta hak pelarian di negara ini.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

