Wanita Maut, Anak Dan Suami Cedera, Kereta Terbabas Langgar Pokok

2 May 2022 • 7:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang wanita maut manakala suami dan anaknya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar pokok di Jalan Dato Ali, Kuala Perlis, awal pagi tadi. - Gambar ihsan Bomba

KANGAR - Seorang wanita maut, suami dan anaknya cedera apabila kereta yang dipandu suaminya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Dato Ali, Kuala Perlis, awal pagi Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, wanita berusia 33 tahun itu maut di tempat kejadian manakala suami dan anaknya mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

"Pada kejadian 7.15 pagi itu, mangsa yang dikenali Mira Azira Mohamad, 33, disahkan maut di lokasi kejadian manakala suaminya Nor Radzuan Abd Rahman, 33, serta anaknya Rabiatul Adawiyah Nor Radzuan, empat tahun mengalami kecederaan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Yusharifuddin berkata, kereta yang dipandu suami mangsa itu dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada kesan brek di lokasi kejadian dan keadaan cuaca baik serta jalan kering.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama