
Kota Kinabalu: Lapan orang dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret di sini kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
Tujuh daripada mereka – Hamizan Jafry, Hardeh Matni, Sufardi Razak, Rajau Marinda, Jailon Dringal, Rosli Japar dan Mahani Sikin mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles atas tuduhan mengambil syabu di lokasi berbeza di sini dan di Penampang antara 3 April dan 5 Mei.
Sufardi dan Mahani masing-masing didenda RM2,300 atau penjara tujuh bulan, Rosli dipenjara dua bulan dan didenda RM1,500 atau tiga bulan penjara manakala selebihnya masing-masing dipenjara tujuh bulan.
Tujuh tertuduh itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, seorang lagi lelaki Jildo Mairin didenda RM3,000 atau penjara 11 bulan kerana memiliki 0.36 gram syabu.
Jildo mengaku memiliki dadah itu pada pukul 2.05 petang 5 Dis tahun lalu di Inanam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun ,atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kes lain, seorang lelaki didakwa menyimpan barang curi.
Md Mardisyah Md Din didakwa menyimpan barang curi iaitu pelbagai wang kertas mata wang asing lama, dua jam tangan dan satu kuku beruang milik Sanno Paul pada pukul 3 petang 2 April 2017 di sebuah rumah di Kg Sembulan Tengah di sini.
Mardisyah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 28 Jun untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan membebaskan tertuduh, yang diwakili peguam Nelson Angang, dengan lanjutan jaminan mahkamah. Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Kelvan Elson Maik.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
