
ALOR SETAR - Kertas cadangan berkaitan mengeksport ketum ke luar negara telah siap sepenuhnya dan dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Exco minggu depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia merupakan hasil daripada sesi libat urus yang dikendalikan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah dan kertas cadangan terbabit akan diteliti terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan permohonan yang diusulkan sebelum ini dengan mengemukakan kertas kerja berkenaan termasuk kajian yang dilakukan kerajaan negeri sebelum ini menerusi Kedah Bioresources Corporation (KBioCorp).
"Kita hendak mohon kerajaan Persekutuan pertimbangkan kebenaran eksport ketum dengan dalil-dalil yang kita kemukakan dalam kertas cadangan itu. Kalau kerajaan kata tak boleh atau tak ada jalan untuk benarkan, jadi kita kena tunggu lagi.
"Mungkin selepas itu, ada perubahan berdasarkan perkembangan semasa dalam bidang perubatan, pengawalan atau penguatkuasaan. Saya harap perkembangan itu tidak beku di situ sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beberapa penemuan berkaitan manfaat ketum sudah dilakukan oleh KBioCorp sejak beberapa tahun lalu, namun ia hanya terhad kepada kajian semata-mata.
“KBioCorp hanya boleh buat kajian, tak boleh dijadikan pusat pengumpulan kerana ia bukan agensi yang dibenarkan untuk membeli atau mengumpul atau mengeksport ketum. Hasil kajian itu sudah ada, kita akan kepilkan bersama kertas kerja berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sekiranya ketum dibenarkan dieksport, maka akan wujud agensi lain yang akan mengumpul dan mengeksport herba itu ke luar negara.
"Saya bukan suruh tanam, mohon eksport daun ketum yang pokoknya tumbuh merata dalam Kedah. Yang tumbuh sedia ada itu sedang diseludup, jadi untuk selesaikan isu penyeludupan ketum lebih baik benarkan ia dieksport. Ada ratusan ribu pokok ketum di beberapa daerah di negeri ini yang dianggarkan oleh Jabatan Pertanian dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar tidak menyalah guna daun ketum kerana ia umpama pisau dapur yang boleh memudaratkan.
“Apabila disalah guna pisau itu boleh bunuh orang, takkan pula nak salahkan pisau itu. Sama macam ketum, gunalah untuk sektor perubatan melalui kajian saintifik.
"Contohnya, dulu orang guna sebagai ubat cacing, ambil daun dan gumpal kemudian letak di perut. Mereka yang tidak ada cacing takkan nak guna daun ketum pula," katanya sinis.
Muhammad Sanusiturut menegaskan bahawa cadangan mengeksport ketum itu bukan bermakna rakyat Kedah boleh sewenang-wenangnya menanam ketum kerana aktiviti eksport kelak hanya membabitkan tanaman sedia ada.
"Tak usah tanam lagi, saya pun bukan nak galakkan penanaman. Kita eksport yang sedia ada, itu pun kalau dibenarkan oleh kerajaan Persekutuan, kita hanya mohon kebenaran," katanya.
Ketika mengulas dakwaan berlaku penanaman ketum secara besar-besaran di kawasan tertentu selepas cadangan Kedah mahu mengeksport ketum dibangkitkan, Muhammad Sanusi berkata, ia bukanlah perkara baharu.
"Ada laporan berlaku tanaman besar-besaran ketum di kawasan tertentu, sebenarnya pokok itu memang sudah ada di situ, bukannya baharu ditanam.
"Walaupun undang-undang menetapkan menanam ketum bukan satu kesalahan, saya nasihatkan tak payahlah tanam,” katanya.
