Kedai Pajak Gadai Dirompak, Kerugian Lebih RM1 Juta

6 May 2022 • 9:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian kes rompakan sebuah kedai pajak gadai di Jalan Besar di Pasir Mas, Kota Bahru, semalam. - Gambar ihsan pembaca

KOTA BHARU - Sebuah kedai pajak gadai mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas dirompak tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol serta pisau dalam kejadian di Jalan Besar di Pasir Mas di sini, semalam.

Susulan kes itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan menerima satu laporan berkaitan kejadian pada jam 4.45 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa melaporkan ketika berada di kedai pajak gadai, datang tiga lelaki memakai topeng.

Katanya, dua daripada lelaki itu menggunakan senjata menyerupai pistol dan seorang lagi menggunakan pisau. 

Beliau berkata, mangsa bersama pekerja kedai seramai lima orang diikat dan dipaksa berada di bawah meja. 

“Mangsa dipaksa membuka laci dalam peti besi dan mengisi wang tunai anggaran sebanyak RM1,000,000 dan pelbagai barangan kemas di dalam beg diberikan suspek. 

“Suspek juga mengambil kunci kereta jenis Perodua Alza berwarna putih milik mangsa dan melarikan diri menggunakan kenderaan terbabit,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, susulan laporan diterima, polis mengadakan ops tutup dan sekatan jalan raya di seluruh Kelantan, selain mengatur gerak pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) ke pintu sempadan serta pangkalan haram yang bersempadan dengan Thailand, bagi mengesan suspek dan kenderaan dilarikan.

Menurutnya, pada jam 12.30 tengah malam tadi, sepasukan pegawai dan anggota PGA8 yang membuat rondaan di Kuala Jambu, Pengkalan Kubor, ternampak sebuah Perodua Alza berwarna putih ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan. 

“Pihak polis membuat pemerhatian dan mendapati kenderaan tidak berkunci. Hasil semakan mendapati kenderaan itu berkait kes rompakan kedai pajak gadai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, polis sudah memanggil mangsa dan beberapa orang saksi kejadian untuk membantu siasatan.

Jelasnya, pihak polis menggesa dan menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil ke Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan serta membolehkan pihaknya memburu tiga lelaki berkenaan. - Getaran, 6 Mei 2022